Tuesday 14 February 2012

Tarikh Akhir Pemutihan Program 6P Akan Tamat Sepenuhnya Pada 10 April 2012

KENYATAAN MEDIA – Tarikh Akhir Pemutihan Program 6P Akan Tamat Sepenuhnya Pada 10 April 2012
14 February 2012Kenyataan Media/Akhbar
Kerajaan hari ini menetapkan bahawa proses pemutihan Program 6P akan tamat sepenuhnya pada 10 April 2012 dan sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk melanjutkan lagi tarikh tersebut tidak akan dilayan.
Sehubungan itu, proses pemutihan yang kini dilaksanakan secara pentadbiran sejak 11 Januari 2012 dan sepatutnya berakhir hari ini (15 Februari 2012) akan diteruskan sehingga 10 April 2012.
Keputusan ini dibuat selepas menimbang permohonan majikan, persatuan serta kumpulan peniaga kecil khususnya yang merayu supaya tarikh itu dilanjutkan untuk membolehkan mereka menyediakan dokumen diperlukan, khususnya passport perjalanan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang diproses pejabat kedutaan negara masing-masing.
Dengan lanjutan tarikh ini, majikan yang masih belum mengemukakan permohonan bagi pemutihan PATI masing-masing digesa supaya segera berbuat demikian kerana operasi penguatkuasaan besar-besaran akan digerakkan di seluruh negara sebaik tamat tempoh ini (10 April 2012).
Sementara itu, sehingga 13 Februari 2012, sejumlah 379,020 PATI membabitkan 33,053 majikan telah diputih dan diampunkan, termasuklah 94,856 yang telah pulang ke negara masing-masing.
####

Disediakan:

Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri, Aras 9,
Blok D1, Kompleks D,
Putrajaya.

No. Telefon: 03 – 8886 8000

Wednesday 11 January 2012

Kenyataan Media - Proses Pemutihan 6P

KENYATAAN MEDIA- PROSES PEMUTIHAN 6P PADA 10 JANUARI 2012 (SELASA)
10 January 2012

Kenyataan Media/Akhbar

1. Kerajaan hari ini membuat keputusan TIDAK MELANJUTKAN tempoh pendaftaran dan pengampunan di bawah Program 6P yang berakhir hari ini (10 Januari 2012).
2. Walau bagaimanapun secara pentadbiran, proses permohonan pemutihan diteruskan bagi Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah berdaftar dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2011. Pertimbangan ini dibuat di atas rayuan para majikan bagi melengkapkan proses pemutihan, pengeluaran dokumen yang berkaitan dan temuduga dengan agensi kawal selia.
3. Oleh itu, bagi majikan yang masih belum berbuat demikian adalah dinasihatkan untuk berurusan segera dengan Pusat Sehenti (One Stop Center – OSC) seperti senarai berikut:
i. Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya
ii. Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Putrajaya
iii. Pejabat Pengeluar Pasport Presint 15, Putrajaya
iv. Kompleks KDN Jalan Duta, Kuala Lumpur
v. Pejabat Imigresen Pelabuhan Kelang, Selangor
vi. Kompleks KDN Johor Bahru, Johor
vii. Kompleks KDN Seberang Jaya, Pulau Pinang
viii. Kompleks KDN Kuantan, Pahang


Tan Sri Mahmood bin Adam
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri